Friday, 4 May 2012

ADAB SOPAN..........

Adab Pelajar Terhadap Gurunya.
Menurut Imam al-Ghazali seseorang murid hendaklah:


• Memberikan sepenuh perhatian kepada gurunya.


• Mendiamkan diri sewaktu guru sedang menyampaikan pelajaran.


• Menunjukkan minat terhadap apa yang disampaikan oleh guru.


• Tidak meninggikan suara terhadap guru, sebaliknya memadailah berkata dengan suara yang didengari.


• Sekiranya perlu bertanya, pastikan guru bersedia memberikan jawapan.


Menghormati guru di hadapan dan belakangnya.

 
• Menutup kelemahan guru agar tidak didedahkan tanpa keperluan.

 

 • Mendoakan kebaikan baginya.

SELAMAT HARI GURU

 

 

Abadi Dalam Harum Nama

 

 

  Guru pendidik mulia

 sudah berabad lalu

 bermandi keringat

 meniti gigi hari 

mendaki puncak tinggi 

di merata lurah dan denai

 menabur bakti tanpa mau dipeduli.

 

 Guru pendidik mulia

 bukan untuk dipuja

atau di dewa-dewa 

siang dan malamnnya

 adalah perjuangan jua

rela meluah bahagia

 menelan duka nestapa 

dengan senyum dan takwa

 biarpun sayup di hutan belantara.

 

 Guru pendidik mulia

 laksana kuntum kembang mekar

 memuncak nama pembela sejahtera

 abadi dalam harum nama. 

 

 Ismala 1988

Monday, 30 April 2012

Siapa Aku....

PROLOG Hari ini aku berdiri sebagai seorang guru. Seperti yang aku idam-idamkan sejak kecil lagi kerjaya ini amat aku cintai. Tidak pernah aku berasa kesal menjadi seorang guru. Bagiku tugas ini terlalu murni. Aku juga tidak pernah mensia-siakan tanggungjawabku sebagai seorang guru. Tentu sahaja sebagai seorang guru aku perlu mendidik anak-anak muridku dengan penuh dedikasi. Aku bukan sahaja mahu mereka menjadi insan terpelajar tetapi aku mahu mendidik mereka menjadi insan yang cemerlang jasmani, emosi, rohani dan intelektualnya. Bagaimana aku berminat menjadi seorang guru ? Ini berlaku kerana ketika zaman persekolahan orang yang paling sempurna yang aku temui setiap hari ialah guru-guruku. Pada aku mereka merupakan insan terbaik yang mengetahui banyak perkara, menasihati ku tentang kehidupan, membantu menyelesaikan pelbagai masalah serta sentiasa menunjukkan kasih sayang kepada murid-murid. Sebagai seorang kanak-kanak perempuan aku kagum melihat guru-guruku yang berpakaian cantik dan bergaya terutamanya semasa hari sukan dan hari penyampaian hadiah sekolah. Seperti Pendekatan Psikoanalitik yang diasaskan oleh Sigmund Freud ( 1856-1939) yang menyatakan tingkah laku masa kini adalah hasil pengalaman masa kanak-kanak , penekanan erotik dan konflik bawah sedar semasa melalui perkembangan psikoseksual sejak lahir hingga dewasa.Oleh itu, Freud menganggap zaman kanak-kanak yang dilalui oleh seseorang itu amatlah penting kerana akan memberi kesan sepanjang hayat kepada psikolgi individu. Aku memasang angan-angan menjadi seorang guru. Aku seorang kanak-kanak yang selalu berkhayal dan penuh dengan imaginasi. Setiap hari apabila pulang dari sekolah aku akan berlakon menjadi seorang guru di hadapan cermin pada sebuah almari solek yang usang di rumah ku. Kadang-kadang aku memaksa adik bongsu menjadi anak murid ku. Tentu sahaja dia melarikan diri kerana dia seorang kanak-kanak lelaki yang ingin lepas bebas bermain di laman rumah. Menjengah ke sekolah menengah keinginan itu bertambah subur apabila aku mengenali seorang guru wanita yang aku rasakan terlalu sempurna. Senyuman sentiasa terukir di bibir walaupun ada ketikanya aku dan rakan-rakan agak nakal di kelas. Tidak pernah kedengaran suaranya menengking kami. Jika kami keterlaluan , beliau akan menegur kami dengan nada yang lembut namun penuh bermakna. Tidak pernah tangannnya menyentuh tubuh kami. Beliau bergaya sederahana. Ketika itu kaum wanita tidak ramai yang bertudung. Beliau tidak memakai tudung tetapi gayanya begitu sopan dan mencermin keperibadian wanita timur yang aku kagumi. Guru wanita ini menjadi idola ku meneruskan impian sebagai seorang guru. Menambahkan lagi keinginan ku untuk menjadi seorang guru apabila aku mula menunjukkan peningkatan dalam pencapaian akademik. Aku seorang pelajar sederhana. Penghuni setia kelas yang kedua dan ada ketikanya tersasar memasuki kelas yang ketiga. Pengaruh daripada guru wanita tersebut aku mula mempunyai cita-cita untuk mempunyai kerjaya yang baik pada masa hadapan. Aku mula belajar bersungguh-sungguh dan menumpukan perhatian di dalam kelas. Keputusan peperiksaan menunjukkan peningkatan terutama mata pelajaran yang diajar oleh guru tersebut. Peluang untuk menjadi seorang guru agak terbentang. Aku menyusun langkah dengan penuh yakin dan teratur untuk bergelar seorang guru. Januari 1989 , aku menjadi seorang guru dalam erti kata yang sebenarnya. Aku ditempatkan di SRJK (C) Naam Kheung , Jalan Cheras , Kuala Lumpur. Sesuatu yang amat mengejutkan kerana aku sama sekali tidak menyangka akan ditempatkan di sebuah sekolah aliran bahasa Cina. Aku tetap melangkah kerana inilah cita-cita ku sejak di bangku sekolah lagi. Walau di mana aku berada aku harus mencurahkan baktiku. Aku harus membuktikan aku seorang guru yang tidak pernah memandang kaum, agama serta pangkat anak-anak muridku. Siapa juga anak muridku aku tetap akan mendidik mereka. Mereka memberikan cabaran kepada ku pertama kali bergelar guru. Kelemahan penguasaan bahasa Malaysia agak merumitkan keadaan. Aku tetap berdiri di situ. Mengajar mereka dengan penuh sabar dan belajar mengenali mereka. Sokongan daripada rakan-rakan guru di situ amat membantu. Aku juga sedar mendidik memang penuh dengan cabaran. Pembelajaran hanya berjaya jika berlakunya perubahan tingkah laku di kalangan pelajar ku. Apabila menjelang akhir tahun, pelajar-pelajar mula dapat bertutur dalam bahasa Malaysia dengan ku , akau a mat bersyukur. Aku berasa terharu kerana aku berjaya mengajar mereka walaupun hanya berlaku sedikit perubahan. Bagi ku perubahan yang sedikit amat bermakna berbanding dengan tidak ada apa-apa yang berlaku kerana aku tidak berusaha. Kesudahannya Sehingga hari ini aku amat berbangga menjadi seorang guru walaupun aku bukan seorang guru yang cemerlang dan terbilang. Aku telah melakukan yang terbaik dalam tugasku. Aku berasakan anak-anak murid ku amat besar ertinya kepada diri ku. Walaupun mereka telah berjaya dan tidak lagi mengingati ku tetapi aku tetap bangga kerana aku pernah hadir dalam perjalanan mereka mencipta kejayaan. Aku tidak pernah meminta untuk dinobatkan sebagai seorang guru yang hebat. Aku bersyukur kerana dengan tugasku ini aku dapat melahirkan modal insan yang dapat menyumbang kepada agama , bangsa dan Negara. Aku penuh yakin menyatakan sesungguhnya kita tidak boleh menafikan sumbangan seorang guru dalam kehidupan setiap individu. Kejayaan meraka yang berada dipuncak ketika ini bermula daripada didikan seorang guru biasa. Aku amat mengharapkan agar masyarakat di luar sana menghargai tugas seorang guru. Kepada rakan-rakan guru aku berharap agar kita bersama-sama menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sepenuh hati. Walaupun kita hanya manusia biasa yang tidak pernah terlepas daripada kesilapan namun ikhlaslah dalam tugas kerana ada yang melihat apa yang kita lakukan hari ini dan ganjarannya menanti kita di akhirat nanti. Sesungguhnya aku berbangga menjadi seorang guru. Walaupun di luar sana ramai yang mencurah rasa tidak puas hati terhadap profesion ini, aku akan tetap berdiri utuh di sini. Selagi hayat dikandung badan, selagi kudrat mampu ku kerah, aku pasti terus melangkah. Aku amat mencintai kerjaya ku ini.

TERIMA KASIH.......

Cikgu Sayang Kamu.................. Slideshow: Nolia’s trip to Ipoh, Perak, Malaysia was created by TripAdvisor. See another Ipoh slideshow. Create your own stunning slideshow with our free photo slideshow maker.